Mengapa perlu suami berkahwin lagi?


Isteri fobia mendengar perbincangan atau berita mengenai poligami, biarpun tidak membabitkan suami sendiri. Mereka sepakat membantah sebarang maksud berkaitan poligami. Sebenarnya, isu poligami tidak menjadi kecoh jika kedua-dua pihak, suami dan isteri, termasuk juga ahli keluarga dan masyarakat melihat dari sudut positif. Isu poligami perlu diperjelaskan bagi mengelak salah faham dan tidak ada pihak mengambil kesempatan.

Islam membenarkan lelaki beristeri lebih daripada seorang, sehingga empat pada satu masa bukan bersifat menguntungkan kaum lelaki semata-mata. Poligami juga bertujuan mendatangkan kebaikan kepada wanita mendapat perlindungan, kasih sayang dan nafkah.

Kebenaran lelaki berpoligami terkandung dalam ayat 3 surah an-Nisa bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim apabila kamu mengahwininya, maka kahwin perempuan lain yang kamu senangi, dua, tiga atau empat.”

Asbabul-nuzul atau sebab turun ayat itu ialah menyekat amalan tidak baik di kalangan lelaki Arab (yang dibawa daripada amalan Jahiliah) sebagai penjaga (wali) kepada wanita yatim, apabila perkahwinan itu sering menyebabkan penganiayaan kepada anak yatim.

Sejarah lelaki berpoligami bukan bermula daripada syariat Islam dibawakan Nabi Muhammad seperti tohmahan dilakukan oleh orientalis Barat. Amalan poligami berlaku sejak beribu-ribu tahun lalu, sesuai dengan tabii manusia.

Umat Nabi terdahulu mengamalkan poligami, termasuk juga di kalangan penganut agama lain. Masyarakat Barat juga pernah menerima amalan berpoligami, sebelum diharamkan oleh undang-undang gereja dan kemudian diikuti undang-undang negara.

Amalan poligami paling hina diamalkan masyarakat Arab Jahiliah yang sesuka hati berpoligami dan melakukan amalan pernikahan yang meletakkan taraf wanita seperti barang dagangan. Lelaki Arab Jahiliah mengamalkan perkahwinan bertukar-tukar isteri sesama sendiri yang dipanggil al-badal. Seorang isteri juga boleh digadai kepada orang kaya jika suami ingin mendapat wang atau berdepan dengan masalah hutang.

Nasib wanita sebelum kedatangan Islam amat malang yang dianggap sebagai bahan pemuas nafsu lelaki semata-mata. Lantas, dengan kehadiran Islam, syariat yang syumul meletakkan wanita pada kedudukan yang terbaik dalam sejarah kehidupan manusia. Sesungguhnya, selepas memeluk Islam, lelaki Arab Jahiliah sanggup meninggalkan amalan bertuhankan kepada nafsu yang selama itu dibanggakan oleh mereka.

Contohnya, Ghailan Salamah ketika sebelum memeluk Islam mempunyai 11 isteri. Bagaimanapun, selepas dijelaskan oleh Rasulullah bahawa lelaki Islam hanya dibenarkan memiliki empat isteri, maka dia memilih empat yang terbaik baginya dan menceraikan yang lain.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Pilih daripada kalangan empat orang saja.” (Hadith riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi).

Jelas sekali kebenaran lelaki berkahwin sehingga empat orang pada satu-satu masa bukan bersifat memenuhi hawa nafsu semata-mata. Apabila lelaki berpoligami, sebenarnya ada lebih daripada seorang wanita menjadi isteri.

Wanita yang dimadukan jangan memikirkan nasibnya dimadukan, tetapi fikirkan apakah nasib wanita yang terus hidup tanpa suami. Berkongsi suami lebih baik daripada tidak bersuami. Apakah nasib isteri jika Islam tidak membenarkan poligami, sedangkan suami ‘hendak’ sesuatu yang tidak mampu dipenuhi oleh isteri. Antara kehendak itu ialah kecantikan, ingin zuriat, status, isteri tidak mampu menjalankan tanggungjawab dan sebagainya.

Suami terpaksa membuat pilihan sama ada terus bersama isteri yang tidak mampu memenuhi keperluan atau menceraikan isteri dan kemudian mencari wanita lain. Dengan ada kebenaran poligami, suami tidak perlu menceraikan isteri bagi memenuhi keperluan itu. Dengan kata lain, amalan poligami dapat mengelak isteri mengalami nasib terpaksa diceraikan suami.

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu bersekedudukan berumahtangga (dengan penuh mesra dan kasih sayang) dengan perempuan (yang kamu kahwini) itu dengan demikian kamu mengambil satu perjanjian yang amat berat.”(Surah an-Nisa, ayat 21).

Perkara utama syarat untuk suami berpoligami ialah dapat berlaku adil meliputi aspek nafkah zahir dan batin, kasih sayang, agihan masa, perhatian dan aspek lain yang sepatutnya menjadi hak bahagian setiap isteri dan anak-anak. Biarpun nafkah zahir atau wang ringgit boleh dikira, hakikatnya keadilan itu juga masih sukar untuk diterjemahkan sepenuhnya. Membahagikan sama banyak peruntukan bulanan belum menentukan adil sebenarnya.

Jika perkara yang boleh dihitung tidak boleh lagi ditentukan sama adil, inikan pula kasih sayang dan nafkah batin. Jadi, bagi suami ingin berpoligami jangan mudah mengaku dapat berlaku adil.

Allah mengingatkan betapa sukarnya berlaku adil. Firman Allah bermaksud: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri (mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian.” (Surah an-Nisa, ayat 129).

Sebenarnya keadilan yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah keadilan yang hakiki atau tidak sedikitpun berat sebelah. Dalam keadaan apa sekalipun, manusia tidak dapat berlaku adil sepenuhnya. Keadilan dalam berpoligami bermakna suami melihat isteri dalam satu dimensi yang sama. Suami tidak membezakan kecantikan, umur dan perkara lain berkaitan kelebihan dan kekurangan seseorang isteri.

Allah memberi peringatan kepada suami agar tidak membiarkan isteri tanpa mendapat hak sewajarnya. Namun, jika suami berusaha berlaku adil, kekurangan yang dilakukan akan Allah ampunkan.

Sambungan daripada surah an-Nisa, ayat 129 bermaksud: “Kerana itu jangan kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai) sehingga kamu biarkan yang lain terkontang-kanting. Dan jika kamu mengadakan kebaikan dan memelihara diri (daripada kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Suami berpoligami jujur menunaikan hak setiap isterinya mengikut kemampuan. Suami bertanggungjawab di hadapan Allah di atas amanah dan tanggungjawabnya. Setiap isteri berhak mendapat pembiayaan daripada suami, walaupun dia mempunyai sumber kewangan sendiri yang cukup.

Islam mengharuskan berpoligami bertujuan kebaikan. Suami ditegah berpoligami jika dirasakan akan mendatangkan keburukan, terutamanya menyebabkan berlaku zalim terhadap isteri. Pun begitu, terdapat beberapa perkara yang menarik tentang perkahwinan antaranya Allah akan memberikan kekayaan kepada pasangan yang berkahwin, firman Allah SWT:

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nuur 24:32)

Jadi, kalau kahwin lebih daripada satu itu, maka bertambah kayalah pasangan itu. Sebab itulah, jarang-jarang kita tengok orang yang MISKIN kahwin lebih dari satu, kadang-kadang orang yg MAMPU kahwin lebih dari dua, dan banyak-banyak orang yg KAYA kahwin lebih dari tiga.

Artikel berkaitan

  • Tiada artikel yang berkaitan
  1. Saya pernah bekerja dengan pengurus saya yang telah berkahwin 2 isteri. Dia cakap dengan berpoligami, dapat anak banyak, maka lagi murah rezeki. Ada dalil sahih menyatakan begitu?

  2. lelaki selalu kalah dengan nafsu & jarang dapat berlaku adil. ingin berpoligami mengikut sunnah Rasulullah tetapi tidak mampu menunaikan janjinya, menjaga rumahtangga seadilnya. insyaallah, bakal suami saya akan tahu menilai baik buruk berpoligami & berlaku adil pada saya. semoga dia akan menjadi suami yang mithali, soleh & setia pada isteri, rasul, agama & Allah. Amin.

  3. Assalam sy ibu kpd 2 ank dn bru shj abis pntg..mcm mne sy nk elakkn agar suami sy x berkahwin no 2..suami beritahu sy yg dia ada mencintai wanita lain ketika sy sarat mengandung dn kni bla sy dh bersalin suami mnyatakn untk berkhwin dua hancur lulur hati sy apa yg sy harus lakukn sy sdhpn meminta wanita itu tggalkn suami sy tp x ada ksan siap ckp bln dpn nkbertunang lg sy x rela d mdukan apa yg harus sy bt st amat tertekan sekarang ni

Leave a Comment


NOTE - You can use these HTML tags and attributes:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>