Hukum sentuh bukan mahram kerana darurat atau perubatan


Soalan: Apa hukum bagi pekerjaan yang memerlukan seseorang itu menyentuh golongan yang bukan mahram, contohnya doktor untuk merawat pesakit atau jururawat yang terpaksa sentuh pesakit untuk memberi bantuan?

Jawapan: Darurat ialah keperluan yang sangat diperlukan oleh manusia. Adapun darurat menurut ulama fiqh adalah berhajatnya manusia itu kepada batasan (perkara yang dilarang oleh syarak) dan jika sekiranya tidak mengambil perkara yang dilarang itu maka akan binasalah manusia tersebut.

Di dalam menjawab dan menyelesaikan persoalan ini, kita mestilah (wajib) merujuk terlebih dahulu kepada al-Quran al-Karim dan hadis Rasulullah S.A.W. sebagai kayu pengukurnya. Penjelasan dari para ulama muktabar dijadikan panduan di dalam memahami dalil-dalil yang dikemukakan pada setiap persoalan dan permasalahan.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tidak boleh memudaratkan (diri sendiri) dan tidak boleh memudaratkan (orang lain). (Riwayat Ibnu Majah, Malik, Hakim, Baihaqi dan Daruqutni).

Dari hadis ini, para ulama telah mengeluarkan beberapa kaedah fiqh (qawaid fiqhiyyah) di antaranya:
Darurat boleh mengharuskan perkara yang diharamkan dengan syarat (darurat tersebut) tidak kurang darinya (perkara yang diharamkan).

Kaedah di atas merupakan suatu kaedah yang amat terkenal di dalam menjelaskan persoalan darurat ini terutamanya keharusan wanita dirawat oleh lelaki asing (serta sebaliknya) beserta beberapa kaedah lain lagi. Di sini saya akan membincangkan persoalan ini secara ringkas berdasarkan kaedah ini dengan di sokong oleh dalil-dalil yang berkaitan. Semoga penjelasan ringkas ini membawa manfaat kepada semua pihak. InsyaAllah.

Allah Taala telah mensyariatkan agama Islam ini bertujuan untuk menjaga lima perkara (maqasid syariyah) iaitu:

  • Menjaga nyawa.
  • Menjaga maruah.
  • Menjaga keturunan.
  • Menjaga harta.
  • Menjaga agama.

Penjagaan dan pemeliharaan kelima-lima perkara ini sudah pastilah membawa kepada berlakunya perkara-perkara darurat pada sesetengah keadaan. Darurat yang datang untuk memelihara maqasid syariyah boleh mengharuskan perkara yang diharamkan ketikamana berlaku pertembungan (ketika berhadapan dengan dua kemudaratan) dengan memilih kemudaratan yang paling ringan. Di samping itu, pemahaman mengenai fiqh alawiyat (fiqh keutamaan) begitu penting bagi memastikan istilah darurat tidak disalahgunakan sesuka hati.

Berikut adalah syarat-syarat bagi memastikan kemudaratan:

  • Perkara yang betul-betul berlaku dan bukan perkara jangkaan.
  • Tiada cara lain untuk mempertahankan kemudaratan melainkan mengambil perkara yang dilarang oleh syarak.
  • Wajib ke atas orang yang terpaksa (mengambil mudarat) menjaga kadar darurat tersebut kerana apa yang diharuskan di dalam keadaan darurat diukur berdasarkan kadar darurat tersebut.
  • Wajib ke atas orang yang terpaksa (mengambil mudarat) mempertahankan darurat berdasarkan kaedah: Menolak kerosakkan (lebih besar) dengan (kemudian) kerosakkan (besar).
  • Orang yang terpaksa (mengambil mudarat) perlu mengutamakan rukhsah terlebih dahulu.

Di antara keadaan yang boleh dikatakan sebagai darurat adalah terpaksa melihat aurat dan menyentuh bukan mahram ketika mengubati pesakit dengan beberapa syarat yang yang telah ditetapkan oleh syarak. Darurat yang dimaksudkan di sini ialah ketikamana tiada doktor sejantina untuk merawat pesakit yang kronik (jika tidak dirawat segera boleh menyebabkan kematian dan kesakitan berterusan dll), maka dibolehkan doktor yang bukan sejantina merawat pesakit tersebut dengan beberapa syarat yang telah digariskan syarak.

Tiada khilaf keempat-empat mazhab mengenai keharusan melihat aurat perempuan (jika doktor lelaki) ketikamana di dalam keadaan darurat. Namun di sana diletakkan syarat-syarat yang perlu diikuti (sila rujuk thread di atas) bagi keharusan melihat aurat dan menyentuh bukan mahram ketika darurat untuk merawat pesakit. Berikut di antara dalil-dalil berkenaan keharusan (kebolehan melakukan perkara-perkara yang dilarang syarak pada asalnya) ketika berlaku darurat:

Firman Allah Taala bermaksud: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah di dalam perkara agama. (Surah al-Hajj: Ayat 78).

Firman Allah Taala bermaksud: Allah tidak memberatkan seserang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah: Ayat 286).

Firman Allah Taala bermaksud: Tetapi barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Baqarah: Ayat 173).

Menurut hukum asal yang telah ditetapkan syarak, tidak harus bagi seseorang perempuan itu diubati oleh lelaki (serta sebaliknya). Ini kerana mengubati seseorang yang berlainan jantina itu boleh membawa kepada melihat dan menyentuh bukan mahram. Hukum haram ini (melihat aurat dan menyentuh bukan mahram) telah sedia kita maklumi sejak dari kecil lagi maka saya tidaklah bercadang untuk menjelaskan perkara ini secara terperinci lagi.

Firman Allah Taala bermaksud: Dan janganlah perempuan-perempuan mendedahkan perhiasan mereka kecuali bahagian-bahagian (anggota) yang zahir sahaja. (Surah al-Nur: Ayat 31).

Daripada ayat al-Quran al-Karim di atas, para ulama telah menetapkan bahawa, aurat perempuan adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Adapun aurat lelaki adalah dari pusat hingga lutut. Inilah pendapat kebanyakkan (jumhur) ulama berkenaan dengan batasan aurat. Adapun menyentuh bukan mahram juga tidak dibenarkan oleh para ulama.

Sepanjang penelitian, pembacaan, perbincangan dan pengajian saya yang tidak seberapa ini, saya belum pernah menjumpai sebarang keharusan untuk melihat aurat dan menyentuh bukan mahram ketikamana di dalam pembelajaran ilmu perubatan. Apa yang selalu disebut oleh para ulama di dalam membincangkan persoalan darurat ini adalah diingatkan agar sentiasa meminimumkan kadar keharusan (melihat aurat dan menyentuh bukan mahram) dengan sedaya upaya sepanjang tempoh darurat tersebut. Perbuatan ini (keharusan merawat ketika darurat) adalah semata-mata bagi menjaga dan memelihara maqasid syariyah sepertimana yang telah disebutkan di atas.

Adapun pembelajaran ilmu perubatan bukanlah terdiri dari perkara-perkara darurat yang telah diperbahaskan dan dipersetujui oleh para ulama. Kesimpulan yang boleh saya katakan di sini ialah, tidak harus bagi seseorang itu melihat aurat dan menyentuh bukan mahram ketika di dalam proses pembelajaran kerana ia bukanlah perkara darurat.

Perlu diingatkan, proses pembelajaran dan situasi merawat pesakit adalah dua perkara yang berbeza. Pelajar perubatan bukanlah berada di dalam keadaan terpaksa ataupun darurat, akan tetapi berbeza dengan pengamal perubatan yang sememangnya menghadapi situasi yang tidak dapat dielakkan ketika merawat pesakit. Oleh itu, dapatlah difahami di sini, darurat hanya boleh digunakan ketika kita benar-benar di dalam keadaan darurat sahaja.

Namun begitu, saya tidak menafikan para pelajar perubatan di luar negara (terutamanya di sebelah barat) menghadapi masalah sepertimana yang telah disebutkan oleh sahabat-sahabat sekalian. Di sini saya ingin mencadangkan agar para pelajar kita berbincang dengan pensyarah berkenaan (atau dekan fakulti) mengenai batas-batas agama Islam dan meminta mereka menghormatinya (atau mengemukakan artenatif lain). Saya kira perbincangan dan pemberitahuan dengan penuh hikmah dari para pelajar perubatan sudah pastilah dapat menjauhkan kita dari perkara-perkara yang tidak dibenarkan oleh agama Islam. Ini juga dikira sebagai salah satu usaha dakwah kita kepada orang bukan Islam.

Saya berasa amat bersyukur dan terharu di atas kesedaran para pelajar perubatan dan para pengamal perubatan mengenai perkara ini. Ini merupakan di antara tanda-tanda pemahaman Islam semakin mendapat tempat di hati para profesional Islam. Jika pemahaman Islam dan kepakaran perubatan dapat digabungkan maka natijahnya sudah pasti akan membuahkan hasil yang amat lumayan kepada umat Islam. InsyaAllah.

Rujukan:

  • Kitab: Al-Ashbah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furuq al-Syafiyah. Karangan: Imam Jalaluddin al-Sayuti.
  • Kitab: Al-Qawaid al-Kubra al-Mausum Bi Qawaid al-Ahkam Fi Islah al-Anam. Karangan: Imam Izzuddin Abdul Salam.
  • Kitab: Al-Rukhsah al-Syariyah Fi al-Usul Wa al-Qawaid al-Fiqhiyyah. Karangan: Syeikh Dr. Umar Abdullah Kamil.
  • Kitab: Ahkam al-Aurah Fi al-Fiqh al-Islami Bahs Muqaran. Karangan: Dr. Abdul Fatah Mahmud Idris.
  • Kitab: Al-Wafi Syarah Hadis Empat Puluh Imam Nawawi (terjemahan). Karangan: Dr. Mustafa al-Bugha dan Muhyiddin Misto.

Artikel oleh: Ustaz Rashidi (moderator Agama ILuvIslam.com)

Artikel berkaitan

  1. tp pelajar pn kne tahu dn buat praktikal utk mhadapi kemungkinan darurat tu kn?

  2. salam abg admin, bini saye ni teraphist. ari2 kene pegang orang nak terapikan diorang. hadoyaii. :(

  3. salam admin..blh tau..apa hukum pula bg dr gigi?

  4. salam….
    pada pendapat aku la………ini semua kesedaran diri kita masing2 setakat mana ilmu agama kita ada n tahap iman kita. contoh.. doktor sakit puan………kenapa ramai lelaki menceburi bidang ini sedangkan kita tau awal2 lg haram melihat aurat perempuan.

    • salam wbt..

      utk pengetahuan mat klate, bidang sakit puan adalah antara bidang yg paling sukar dalam bidang perubatan..bidang ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dari segi masa,tenaga dll kerana pada setiap masa, ada je wanita yang bersalin tak kira samada secara normal atau caesarian section..dan tidak kurang pula yg mengalami komplikasi2 sebelum,ketika dan selepas bersalin tak kira siang dan malam..

      jadi doktor2 perempuan yg mengambil bidang sakit puan adalah antara doktor yg paling sibuk menyebabkan kebanyakan doktor perempuan tidak mampu mengambil bidang ini sebagai ‘specialty’ mereka mungkin kerana ingin memberi perhatian yang lebih kpd keluarga..ketika inilah doktor2 lelaki berperanan untuk mengambil bidang sakit puan bagi menampung kekurangan tersebut..kerana nyawa ibu2 dan bayi2 lebih utama utk diselamatkan..

      tetapi dari masa ke semasa alhamdulillah jumlah pakar sakit puan dari golongan wanita semakin bertambah..

      doakan semoga doktor2 muslimah kita lebih kuat utk mengambil bidang tersebut sebagai bidang kepakaran mereka..insyaAllah.. :)

  5. salam……….
    hiro n azri………
    sarung tangan kan ada….

  6. klu org beranak macam mana pula? ada doktor lelaki yg sambut, jahit dan cuci darah sampai ke dalam..dlm masa yg sama ada juga pelajar perubatan lelaki dan perempuan yg buat praktikal..itu dikira mcm mana ek..

Leave a Comment


NOTE - You can use these HTML tags and attributes:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>